Hakim Danish Cipta Sejarah, Juara Moto3 GP Czechia


Dunia sukan permotoran negara menerima khabar gembira apabila pelumba muda Malaysia, Muhammad Hakim Danish Ramli, berjaya menjuarai perlumbaan Moto3 Grand Prix Czechia di Litar Brno.

Kejayaan ini menjadi lebih istimewa kerana Hakim Danish tidak bermula di barisan hadapan. Sebaliknya, beliau dikenakan penalti grid yang menyebabkan beliau terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14.

Namun, cabaran tersebut tidak mematahkan semangat pelumba kelahiran Terengganu itu. Sejak lampu hijau dilepaskan, Hakim mempamerkan tunggangan yang cukup yakin, agresif dan kemas. Beliau berjaya memotong seorang demi seorang pelumba di hadapannya sebelum akhirnya mengambil alih kedudukan pendahulu perlumbaan.

Aksi yang dipamerkan Hakim bukan sahaja mengujakan peminat sukan permotoran Malaysia, malah membuktikan beliau mempunyai bakat besar untuk bersaing di pentas antarabangsa. Kemenangan ini juga dianggap antara pencapaian terbesar dalam karier Moto3 beliau setakat ini.

Sebagai anak Terengganu, kejayaan Hakim Danish pastinya menjadi kebanggaan rakyat negeri itu. Pada masa yang sama, seluruh rakyat Malaysia turut berbangga melihat Jalur Gemilang berkibar megah lagu Negaraku berkumandang di Brno hasil usaha dan pengorbanan seorang pelumba muda negara.

Tahniah diucapkan kepada Hakim Danish Ramli atas kejayaan yang cukup bermakna ini. Semoga beliau terus cemerlang, kekal fokus dan melakar lebih banyak kejayaan untuk Malaysia pada masa hadapan.

Syabas Hakim Danish, anak Terengganu kebanggaan Malaysia!

Post a Comment

Previous Post Next Post