Majlis Pelancaran Studio Podcast d’BIRDs di SK Durian Burung, Kuala Terengganu berlangsung dengan meriah dan telah disempurnakan oleh Tuan PPD Kuala Terengganu. Inisiatif ini merupakan langkah penting sekolah dalam pemerkasaan digital selaras dengan kedudukannya sebagai Sekolah Angkat MADANI serta penerima peruntukan kewangan khas bagi pembangunan fasiliti digital.
Studio rakaman PdP dan podcast yang lengkap dengan peralatan moden ini berjaya direalisasikan melalui sokongan USTP PPD Kuala Terengganu. Pencapaian ini turut didorong oleh kepimpinan Guru Besar, Ustaz Rashidi, yang menjadi tonggak utama gerakan pendigitalan sekolah.
SK Durian Burung mempunyai barisan guru yang berkompeten dalam teknologi pendidikan, termasuk Guru Cemerlang dan Duta Guru DELIMa Kebangsaan, Ustazah Roslina, yang juga Jurulatih Utama Digital dan GPGD Google Kuala Terengganu. Kini, 30% guru sekolah ini memiliki pensijilan Microsoft Innovative Educator (MIE) dan MIE Expert, selain turut memperoleh pensijilan Google Educator, Apple Teacher dan Canva Educator.
Dalam sesi podcast sempena pelancaran, Tuan PPD menekankan sokongan penuh PPD terhadap gerakan digital di sekolah ini serta menggalakkan lebih banyak penerbitan bahan PdPC melalui studio tersebut. Beliau turut menggesa supaya jadual penggunaan studio disusun bagi melibatkan semua guru menghasilkan kandungan.
Tahniah kepada SK Durian Burung atas kejayaan ini dan bakal menjadi pemangkin kepada usaha sekolah mencapai status Microsoft Showcase School pertama daerah Kuala Terengganu menjelang 2026. Penghargaan turut diberikan kepada Tuan PPD dan kepimpinan PPD Kuala Terengganu atas sokongan terhadap agenda pendigitalan, seiring visi Tiwikrama Digital oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.
Warna-Warni Majlis Perasmian
