Sinergi Pemerkasaan Digital Terengganu di Penilaian Akhir Anugerah DUTA Kebangsaan

Alhamdulillah, sesi verifikasi fizikal oleh pihak Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM bagi Anugerah DUTA Kategori JPN Peringkat Kebangsaan telah pun melabuhkan tirainya di SSTP JPNT. Selepas melalui fasa penilaian dokumentasi yang ketat sebelum ini, menjadi satu kebanggaan besar apabila JPN Terengganu berjaya merangkul kedudukan Top 3 terbaik di seluruh Malaysia! Kehadiran pihak penilai pada sesi ini adalah bagi menjalankan verifikasi serta penilaian akhir untuk menentukan pemenang mutlak gelaran Johan peringkat kebangsaan. Dalam merealisasikan kejayaan program ini, admin blog ini turut berpeluang terlibat secara langsung mewakili daerah Kuala Terengganu. Fokus utama yang digalas adalah untuk memperkasa dan menguruskan reruai pameran daerah. Untuk makluman, program pada kali ini menyaksikan penyatuan kesemua lapan daerah di negeri Terengganu yang masing-masing tampil mempamerkan inisiatif cemerlang melalui reruai digital yang serba inovatif. Bagi reruai daerah Kuala Terengganu, admin telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan platform Dashboard Pemerkasaan Digital. Paparan interaktif ini memuatkan data komprehensif serta bukti kejayaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah-sekolah di sekitar Kuala Terengganu dalam pelbagai aktiviti digital. Sangat membanggakan apabila Kuala Terengganu mencatatkan rekod antara penyertaan tertinggi dari pelbagai peringkat, sehinggalah ke peringkat antarabangsa! Pencapaian cemerlang ini sekaligus menyumbang impak yang besar kepada pemerkasaan profil digital negeri Terengganu di mata barisan penilai. Selain itu, reruai Kuala Terengganu turut diberi mandat untuk mengetengahkan inisiatif Hab STEM yang berpusat di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bukit Besar. Hab ini merupakan hasil kerjasama utuh bersama Yayasan PETRONAS selaku penggerak utama pemerkasaan STEM, yang telah menyediakan ruang serta fasiliti lengkap. Fasiliti ini amat membantu memudahkan para guru—khususnya Duta Guru—mengakses bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) STEM yang berinovasi. Kesemua inisiatif hebat ini telah dipaparkan secara digital sebagai nilai tambah yang memantapkan lagi proses verifikasi penilai JPN Terengganu. Bagi memberikan impak yang lebih menyeluruh, pameran ini diserikan lagi dengan sinergi luar biasa daripada rakan-rakan Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan (USTP) dari daerah lain. Turut memberi sokongan padu adalah komuniti pendidikan digital seperti Guru Penyelaras Bestari/Guru Penyelaras ICT (GPGD), Cikgu Juara Digital (CJD), Cikgu Ikon, serta pembudayaan pelbagai inovasi sistem pengurusan bagi melicinkan kerja-kerja di setiap sektor JPN. Kebersamaan semua pihak ini adalah bukti komitmen teguh kita yang tidak berbelah bahagi dalam memacu prakarsa pendidikan digital dan merealisasikan tiwikrama yang digarapkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu. Semoga berkat usaha, kesungguhan, dan inovasi yang diketengahkan ini, JPN Terengganu mampu merangkul kejayaan besar dan dinobatkan sebagai Johan Anugerah DUTA pada tahun ini. Insya-Allah!
Gambar 1
Gambar 2
Gambar 3
Gambar 4
Gambar 5
Gambar 6
Gambar 7
Gambar 8
Gambar 9
Gambar 10
Gambar 11
Gambar 12
×

Post a Comment

Previous Post Next Post